"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Wednesday, January 15, 2014


BAYANGAN DIWAKTU FAJAR (1963)








Kajiselidik, Teks & Foto: MUSTAFAR A.R.
Di Edit Di Semak & Di Susun: ZAINI YUSOP






S.ROOMAI NOOR & LATIFFAH OMAR

NURBANI JUSUF & RENDRA KARNO

CATHAY ORGANISATION Mempersembahkan PENGELUARAN BERSAMA CATHAY KERIS FILMS (Singapura) Dan PERFINI (Indonesia) BAYANGAN DIWAKTU FAJAR Shadows At Dawn Di-bintangi oleh S.ROOMAI NOOR LATIFFAH OMAR RENDRA KARNO NURBANI JUSUF Di-bantu oleh UMMI KATHUM ZAHARAH SELAMAT SANDY SUWARDI SALIM BACHIK SITI TG. PERAK AHMAD NISFU AHMAD SABRI Pengarah Juru Kamera MAX TERA Penata Cahaya KASDULLA Juru Kamera ROSNEN dan HAMZAH A. RAHMAN Penyunting Filem SOEMARDJONO Penolong JAMIL RAIS Pengarah Seni Lukis ARDI AHMAD dan
J.S. ANTHONY Juru Hias K. RAJOO Juru Bangunan TAN ENG SUAN Pengurus Ma'mal KANG KEE CHYE Penolong AHMAD NANDOK dan ANG AH POON Penulis Cherita dan Lakon Layar USMAR ISMAIL Penulis Kata Bual S. ROOMAI NOOR Pembantu Pengarah RAHEEM
A. JAILANI Pemimpin Muzik SAIFUL BAHRI Lagu "CHITRA" Chiptaan CORNEL SIMANDJUNTAK Nyanyian SAM SAIMUN YUNI AMIR NINA KIRANA Penyelia Pengeluaran A. LAM SHOON KONG
Pengarah USMAR ISMAIL

Tahun diedarkan: 1963 (27 Jun)
Masa tayangan: 122 minit







RENDRA KARNO, LATIFFAH OMAR & SITI TG. PERAK

S.ROOMAI NOOR & RENDRA KARNO

S.ROOMAI NOOR & NURBANI JUSUF

SANDY SUWARDY & S.ROOMAI NOOR

SITI TG. PERAK & RENDRA KARNO

SALIM BACHIK & S.ROOMAI NOOR

JALAN CERITA___

OMAR yang bertindak apa saja dalam segala hal, termasuk menodai Suryani, adik angkatnya yang dicintai oleh Salim, abang tirinya.

Dia yang tinggal di kota hanya menghabiskan wang, hasil ladang getah yang diusahakan oleh Salim yang diwarisinya dari Hashim (ayah Omar dan Salim) menyebabkan Omar tidak puashati dan marah.

Atas tuduhan, Salim mempengaruhi ayahnya hingga mewarisi ladang getah tersebut, Omar menguggut akan bertindak balas, dan ini menyebabkan Salim berjanji akan menghantar wang setiap bulan kepadanya.

Di kota, Omar terus berlagak 'playboy' dengan menghabiskan wang yang dihantar oleh Salim dengan menari dan makan minum di kelab malam serta berfoya-foya dengan wanita-wanita yang disukainya.

Dalam pada itu, Zaharah (wanita pisau cukur) dan Johnny berpakat untuk mengikis wang Omar. Apabila sudah berkenalan, dengan kejelitaan dan kemesraan, Zaharah mengajak Omar berkahwin, dan Omar bersetuju. Jadilah mereka suami isteri.

Di ladang getah, kerana berlakunya zina antara Suryani dengan Omar, Suryani mengandung. Ini menyebabkan Salim bimbang dan mendesak supaya Omar berkahwin dengan Suryani. Tetapi Omar menolak.

Omar terus-terusan menerima wang pemberian Omar, dan terusan-terusan juga dihaburkan lebih-lebih lagi Zaharah yang sememangnya berkahwin dengan Omar kerana wang bukan cinta. Hutang pun sekeliling pinggang.

MINTA CERAI

Disebabkan Omar enggan mengawini Suryani, dan demi menjaga anak dalam kandungan, Salim sedia bernikah dengan Suryani, dan kerana terpaksa (Suryani mencintai Omar) dia bersetuju.

Sudah melampau, Salim menghentikan pemberian wang kepada Omar yang menyebabkan keadaan hidup Omar menjadi kucar-kacir dan berbalah dengan Zaharah yang meminta cerai kerana dia sudah tidak berwang.

Terjadi perkelahian antara Omar dan Johnny, kekasih Zaharah, yang mengakibatkan Johnny jatuh dari tingkat rumahnya, dan terbunuh.

Kerana ketakutan, Omar melarikan diri ke kampungnya, ladang getah, disamping mahu membalas dendam terhadap Salim kerana menyusahkan hidupnya.

Omar bertemu Suryani dan dibawanya ke pondok usang bertujuan mahu memperkosanya, tetapi gagal kerana orang-orang kampung yang menyedari kehilangan Suryani dan mencari, bertemu mereka.

Dalam pegelutan, Suryani terjatuh dan pengsan mengakibatkan dia keguguran.

Akhirnya, Omar menyedari kesalahan yang dilakukannya, dan meminta maaf kepada Salim, Suryani dan ibunya.

Selepas itu, dia menyerah diri (kerana membunuh Johnny) kepada polis untuk berdepan dengan mahkamah pengadilan.








LATIFFAH OMAR & RENDRA KARNO

RENDRA KARNO, S.ROOMAI NOOR, AHMAD SABRI, SITI TG. PERAK & AHMAD NISFU

LATIFFAH OMAR, RENDRA KARNO, S.ROOMAI NOOR & SITI TG. PERAK



ULASAN FK___

DIAWAL-AWAL kemuncaknya filem Melayu di Singapura (masih dalam Malaya), usaha telah dibuat untuk melahirkan filem kerjasama antara Malaya (belum Malaysia) dengan Indonesia.

Kebiasaannya, aktor dan aktres Indonesia saja berlakon dalam filem-filem Malaya seperti "Saudaraku", "Irama Kaseh", "Terang Bulan Di Malaya", "Mutiara Dari Malaya", "Selamat Tinggal Kekasehku" dan "Korban Fitnah", kesemuanya keluaran Cathay Keris Film.

Bagaimanapun, filem "Bayangan Di Waktu Fajar" agak berbeza. Ia diproduksi bersama antara Cathay Keris Film (Singapura) dan Perfini (Indonesia), menggabungkan ramai pelakon kedua negara.

S.Roomai Noor, Latiffah Omar, Rendra Karno, Nurbani Yusuf, Salim Bachik, Sandy Suwardy, Siti Tg. Perak, Ahmad Nisfu dan Ahmad Sabri, adalah pelakon-pelakon, manakala pengarah diserahkan kepada Usmar Ismail, dan A.Lam Shoon Kong bertindak sebagai penyelia pengeluaran.

Sebagaimana yang telah diketahui, "Bayangan Di Waktu Fajar" ("Shadows At Dawn") merupakan buatbalik (remake) filem "Tjitra" ("Chitra") keluaran 1949 yang juga merupakan filem pertama diarahkan oleh Usmar Ismail.

Agak menarik, hanya Rendra Karno saja berlakon dalam filem yang turut membintangi "Tjitra" dengan memegang peranan Omar (dalam "Bayangan Di Waktu Fajar") dilakonkan oleh S.Roomai Noor, manakala dia berperanan sebagai Salim, abang tiri Omar (dalam "Tjitra") dibawakan oleh Raden Ismail.

Dalam "Tjitra", peranan Latiffah Omar (sebagai Suryani) dipegang aktres yang kurang menyerlah dan hanya membintangi tiga filem saja, Nila Djuwita.

Mengenai filem, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena, banyak juga. Tetapi biarlah saya sentuh beberapa perkara dalam penilaian saya sebagai pemerhati (pengkritik) filem.

Saya mulakan dengan peranan S.Roomai Noor sebagai Omar, yang tidak menepati karekter. Sepatutnya, peranan tersebut dibawakan oleh Sandy Suwardi, dia lebih sesuai.

Kalau ditukarkan kepada Rendra Karno pun tidak sesuai, dia memang cukup baik sebagai Salim dan pemilihannya sebagai aktor pembantu terbaik di FFAP10, Tokyo, sudah kena pada tempatnya.

Pada saya, S.Roomai Noor adalah hero filem. Ertinya berperanan baik, seperti juga P.Ramlee. Walaupun dalam filem ini sebagai hero, tetapi jahat.

Ini yang kurang kena. Seperti juga karekter P.Ramlee dalam "Ibu" (cerita pun seakan-akan sama), hero jahat.

Selama ini pun, sejak filem "Chinta" (kecuali "Bakti") di MFP, dia lebih banyak sebagai hero baik, antaranya "Nasib", "Nilam", "Pembalasan" dan "Berdosa".

Beralih ke Cathay Keris Film pun, juga sebagai hero baik, tidak ada hero jahat, tidak tahulah kalau saya terlepas pandang, antaranya "Adam", "Mega Mendong", "Selamat Tinggal Kekasehku" dan "Orang Minyak".

Kerana tidak sesuai dengan karekter, S.Roomai Noor tidak dapat membawa peranan Omar sebaik mungkin malahan penuturan dailognya pun agak kurang berkesan dan sekaligus melemahkan lakonannya.

Sebagai pengarah, Usmar Ismail ada pekiraan sendiri. Filem ini kerjasama dan pelakon juga harus diimbangi dengan kekuatan aktor dan aktres Malaya dan Indonesia.

Peringkat awal, Umar Ismail mahu meletakkan karekter Suryani kepada Nurbani Jusuf, tetapi beralih kepada Latiffah Omar, dan berkata, "Perwajahannya yang suci. Inilah kunci cerita yang menggegarkan hati seorang pemuda."

Apa macam sekali pun, ternyata lakonan Latiffah Omar terpinggir dan Nurbani Jusuf lebih menyerlah peranannya sebagai Zaharah, perempuan pisau cukur, berkomplot dengan Johnny (Sandy Suwardi) untuk mengikis wang ringgit Omar.

Disini, teringat pula saya kepada filem "Rachun Dunia" dimana P.Ramlee berpakat dengan Siput Serawak untuk membolot wang dan harta Osman Gumanti, seorang tawkey ladang getah yang lupa daratan.

Kemungkinan juga cerita "Rachun Dunia" diciplak daripada kisah "Chitra" kerana, "Chitra" dikeluarkan pada 1949 manakala "Rachun Dunia" tahun 1950.

PEMAIN MUSIK

Kalau peranan Salim diserahkan kepada S.Roomai Noor dan Nurbani Jusuf melakonkan karekter Suryani, dan Sandy Suwardi sebagai Omar dan Ummi Kalthoum (teman wanita S.Roomai Noor dalam filem ini) berperanan Zaharah, mungkin sesuai agaknya.

Yalah, tetapi Latiffah Omar dan Rendra Karno mahu letak dimana, mereka?

Apa pun, itulah realiti, keadaan tidak boleh diubah. Filem "Bayangan Di Waktu Fajar" tetap kekal sebegitu buat selama-lamanya dan selagi masih wujud, tidak hilang ghaib seperti "Pontianak".

Munculnya Salim Bachik dan Ummi Kalthoum, boleh dianggap sebagai nasi tambah, side order, penyeri filem untuk menarik lebih ramai peminat filem Melayu ke panggung wayang.

Ummi Kalthoum memang sudah cukup popular, Salim Bachik pula lebih terkenal sebagai pelakon drama radio yang mempunyai suara tidak ada sesiapa pun dapat menandinginya, sampai sekarang.

Agak janggal, Usmar Ismail menyerahkan kepada Salim Bachik sebagai pemain musik (piano), karekter yang dianggap tidak relevan, manakala Ummi Kalthoum boleh dikatakan tidak berdialog langsung.

Ketika menyanyikan lagu "Chitra" di kelab malam, gaya Salim Bachik sama macam Dooley Wilson semasa menyanyikan lagu "As Time Goes By" untuk Ingrid Bergman dalam filem "Casablanca" keluaran 1942.

Maknanya, Usmar Ismail juga meniru seperti P.Ramlee. Tetapi, apa mahu dihairankan, Steven Spielberg dan Akira Kurosawa pun meniru juga.

Sesuatu dikira menarik, kemesraan Siti Tg.Perak dengan Latiffah Omar, sebagai ibu angkat dan anak angkat.

Ada beberapa filem, Latiffah Omar menjadi mangsa (sumpah seranah) Siti Tg.Perak bermula "Merana" kemudian disusuli "Bawang Puteh Bawang Merah" dan "Rumah Itu Dunia Aku".

Filem ini mengandungi tiga lagu, tetapi yang agak menarik hanyalah "Chitra" ciptaan Cornel Simandjuntak nyanyian Sam Saimun, yang juga dijadikan lagu tema. Dua lagu lagi, nyanyian Yuni Amir dan Nani Kirana, kurang menyengat.

Lain-lain elemen filem seperti fotografi dan penyuntingan dikira sederhana saja dan baik, manakala setting kebanyakannya dilakukan diluar studio (Singapura dan diladang getah di Negeri Sembilan) juga boleh dikira memuaskan.

Penggambaran yang dilakukan jurugambar Max Tera dari Indonesia terhadap Latiffah Omar yang mahu pergi ke tempat mandian, dikala fajar menyinsing (dihiasi cahaya dan kabus pagi dicelah-celah pohon pokok getah) sambil diperhatikan oleh Salim Bachik, merupakan satu penghasilan fotografi yang begitu kreatif, sempurna dan mempersonakan.

Begitu pun juga, itu hanya boleh dinikmati oleh penonton dilayar lebar (screen) panggung wayang, bukannya di screen tv, dvd atau pun youtube.

Mengenai cerita, biasa saja dan temanya sudah sering dan banyak kali dijadikan filem seperti yang dinyatakan, "Rachun Dunia" dan "Ibu", ditambah dengan "Insaf".

Bagaimanapun, perkara yang ditimbulkan, cuba bunuh diri (Latiffah Omar) dan anak luar nikah (hasil zina Latiffah Omar dan S.Roomai Noor, dan Suryani juga anak luar nikah), sedikit sebanyak menjelekkan filem ini.

Ini kerana, penonton beragama Islam menganggap, perbuatan dua perkara itu melanggar akidah dan keji, tidak sepatutnya ditonjolkan.

Tujuan utama, kerjasama antara Cathay Keris Film dan Perfini mengeluarkan filem ini ialah, selain menjalinkan persaudaraan serumpun, juga mahu meluaskan pasaran filem di Malaya dan Indonesia, sekitar rantau Nusantara.

Namun usaha yang baik itu ternyata gagal, apabila berlakunya konfrontasi Indonesia terhadap Malaya kerana, Indonesia (terutamanya Presiden Sukarno) menentang keras adanya usaha menubuhkan gagasan Malaysia yang merangumi Malaya (termasuk Singapura), Sarawak dan Sabah.

Akibatnya, "Bayangan Di Waktu Fajar" kecundang di box office, bukan saja di Malaya tetapi juga Indonesia.







RENDRA KARNO & NILA DJUWITA DALAM "TJITRA"

ABOUT "TJITRA" ("CHITRA")___

"Tjitra" was released in 1949, with a novelisation following in 1950; a song of the same name, by Cornel Simanjuntak, followed not long after.

The introduction to the novel, entitled "Pengantar ke Dunia Film" ("Introduction to the World of Cinema"), was later compiled in the 1983 anthology Usmar Ismail "Mengupas Film" (Usmar Ismail on Film).

A 35mm copy of the film "Tjitra" is stored at Sinematek Indonesia's archives.

CREATIVE ASPECTS

In a 1962 letter Ismail wrote that, aside from choosing the story, he had been given little control over the film. The producer dictated which shots were to be used and most of the creative aspects of filming.

As such, Ismail disavowed "Tjitra" and "Harta Karun", writing that he considered his first film to be "Darah Dan Doa" ("The Long March", 1950).

The Indonesian film historian, Misbach Yusa Biran, wrote that, unlike most films from the Dutch East Indies, it showed a sense of an Indonesian nation.


ANUGERAH___

AKTOR PEMBANTU TERBAIK (Rendra Karno)
* Festival Filem Asia-Pasifik Ke-10 (Tokyo, 1963)





(Sumber: Njendra)

CHITRA

Chitra
Engkaulah bayangan

Waktu subuh mendatang

Chitra
Kau gelisah malam

Dalam kabut suram
Kau dekap malam kelam

Pelukan penghabisan

Kau singkap tirai kabut 

Dan selubung
Tenggelam kau jumpai

Di dalam rimba malam

Kau buka pagi baru

Senja nyawamu
Chitra
Kau bayang abadi 

Dalam kabut fajar


* Ciptaan: CORNEL SIMANJUNTAK
* Penyanyi: SAM SAIMUN
* Lirik: USMAR ISMAIL
* Musik: SAIFUL BAHRI



FAKTA___

* Filem ini dipadankan dari filem Indonesia "Tjitra" yang diarahkan sendiri oleh Usmar Ismail pada tahun 1949. Rendra Karno turut berlakon dalam filem ini memegang peranan dilakonkan Raden Ismail. Nila Djuwita membawa peranan Latffah Omar, manakala Rendra Karno membawa peranan dilakonkan S. Roomai Noor.

* Ini merupakan filem kedua diarahkan Usmar Ismail diCathay Keris Film. Sebelumnya (1959) dia mengarahkan filem "Korban Fitnah" yang dibintangi oleh Sukarno M. Noor, Maria Menado, A.N. Alcaff dan Siput Serawak, tetapi menggunakan nama samaran sebagai Pengarah, P.L.Kapur.

* Rendra Karno memenangi anugerah aktor pembantu terbaik di FFAP10 di Tokyo, dimana P.Ramlee turut menerima anugerah bakat serbaboleh kerana filem arahannya, "Ibu Mertua Ku", dan A. Bakar Ali kerana fotografinya, juga "Ibu Mertua Ku".

* Filem ini adalah kerjasama Malaya dan Indonesia. Persoalannya, anugerah aktor pembantu terbaik itu milik siapa. Malaya (kini Malaysia), Indonesia atau Singapura?

* Nurbani Jusuf turut membintangi filem "Anak Perawan Di Sarang Penyamun" yang diarahkan oleh Usmar Ismail pada 1962 berdasarkan novel yang dihasilkan tahun 1940 oleh Sutan Takdir Alishahbana, dan heronya, Bambang Hermanto.

* Filem pertama Nurbani Jusuf, "Asrama Dara" (1958), juga arahan Usmar Ismail, dan merupakan filem pertama lakonan aktres yang terkenal dengan filem-filem seramnya (horror), Suzanna.

* Rendra Karno hero filem box office "Tiga Dara", juga diarahkan Usmar Ismail pada 1956, yang turut dibintangi Mieke Widjaja, Chitra Dewi, Indriati Iskak dan Fifi Young serta Bambang Irawan.

* Lokasi: Dalam "Chitra" kotanya Jakarta dan kampungnya kebun teh, di Bogor. Dalam "Bayangan DiWaktu Fajar" kotanya Singapura dan kampungnya ladang getah, di Negeri Sembilan.

* Boleh dikatakan kesemua pelakon utama (kecuali Sandy Suwardy dan Nurbani Jusuf, tidak dapat dipastikan) sudah pergi mengadap Illahi. S.Roomai Noor, Latiffah Omar, Rendra Karno, Salim Bachik, Ummi Kalthum, Siti Tg Perak, Ahmad Nisfu dan Ahmad Sabri, termasuk pengarahnya, Usmar Ismail.


PENGARAH "BAYANGAN DIWAKTU FAJAR", USMAR ISMAIL

USMAR ISMAIL___

USMAR Ismail merupakan insan filem yang begitu terkenal di Indonesia dan mula mencipta nama dipenghujung tahun 1940an bermula filem arahannya yang pertama "Tjitra" kemudian dsusuli pula "Harta Karun" (1949).

Pada 30 Mac 1950 dia menubuhkan syarikat filemnya sendiri, Perfini, dan mengarahkan filem pertamanya "Darah Dan Doa" ("The Long March").

Sudah banyak filem telah diarahkan oleh Usmar Ismail yang mana bukan saja mendapat sambutan di Indonesia tetapi juga di Malaya.

"Lewat Djam Malam", "Tamu Agung", "Tiga Dara" dan "Asrama Dara", adalah diantaranya.

Menjelang saat-saat akhir hayatnya pun (meninggal dunia pada 2 Februari 1971), dia masih mengarahkan filem, filem "Ananda".

"Usmar Ismail adalah tokoh besar dunia perfileman nasional. Sejarah filem Indonesia tidak boleh ditulis tanpa menulis sejarah hidupnya," kata Asrul Sani dalam buku "Usmar Ismail Mengulas Filem".



MARI KITA MENONTON FILEM "BAYANGAN DIWAKTU FAJAR"




(Sumber: Njendra)



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?

ROH MEMBELA (1955)
kekuatannya special effect dan aziz sattar

CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

PONTIANAK (1957)
mencapai kejayaan box office luar jangkaan

MUTIARA DARI MALAYA (1955)
teknik fotografinya sangat menarik

LAIN JALAN KA-SHORGA (1968)
apa, berdosakah aini?

SELENDANG DELIMA (1958)
kejelitaan maria menado dieksploitasi sepenuhnya



11 comments:

  1. Salam hormat Bapak Mustafar A.R.

    Gue sudah lama mengikuti blog Bapak, Filem Klasik Malaysia, cuma baru sekarang gue berkesempatan menulis kepada Bapak.

    Gue perhatikan, blog Bapak agak berbeza dengan yang lain. Cara dan corak persembahannya sangat menarik, kelihatan kemas dan bersih, tidak ada iklan dan apa-apa pun, tidak berserabut seperti blog-blog lain yang sama taraf dengannya.

    Gue begitu tertarik hati dengan blog Bapak ini, lebih-lebih lagi gue memperolehi informasi yang selama ini gue tidak banyak tahu terutama filem-filem lama Malaysia, Indonesia dan juga negara-negara lain.

    Review filem biasanya dibuat menyeluruh, padat dan sempurna. Kewartawanan, ilmu filem yang luas dan keprihatinan menjadikan blog ini bernilai.

    Contohnya, "Bayangan Di Waktu Fajar" yang baru saja diposkan. Ulasan sebegini tidak pernah saya temui dimana-mana blog sekali pun.

    Well done Bapak Mustafar, teruskan usaha yang baik dan berinformasi ini.

    - Rahardjo (via e-mail), Taman Ismail Marzuki, Jakarta, Indonesia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Rahardjo.
      Rasanya, inilah pertama kali saya menerima e-mail
      daripada seseorang di Taman Ismail Marzuki (TIM), Jakarta.
      Ertinya, FKM sudah mula bertapak dipusat kesenian itu
      yang pernah saya kunjungi beberapa tahun lalu, dan menonton filem menitis airmata, "Permintaan Terakhir".
      Apa yang Sdra catatkan merupakan sebagai penggalak
      untuk saya dan isterii berkarya dengan lebih gigih lagi.
      Jaminan, selagi berkemampuan, FKM akan tetap diteruskan.
      Terima kasih, Rahardjo.

      Delete
  2. Kalau tidak silap saya, terdapat sebuah lagi filem Indonesia yang diproduksikan dengan usaha sama syarikat Cathay-Keris ketika filem-filem Indonesia mula diterbitkan dalam bentuk berwarna pada tahun-tahun 1970'an. Jodol filem tersebut ialah "Pengejaran Ke Neraka" dalam Eastmancolor yang diusahakan oleh Danu Umbara. Tidak banyak yang dilaporkan tentang filem ini walaupun beritanya ada disiarkan oleh akhbar Melayu di Singapura dulu. Mungkin Encik Mustafar AR & Puan Zaini Yusof boleh menulis rencana tentang filem ini.

    - NONAMA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kedudukan "Pengejaran Ke Neraka" ini ada sedikit misteri, kalau boleh dikatakan begitu. Ada kata, Cathay Keris punya, ada pula sumber Danu Umbara yang punya. Ada pula catatan M. Amin pengarahnya, dan Danu Umbara juga turut jadi pengarah. Kalau mahu fakta yang tepat, research terpaksa dilakukan. Inilah peranan Finas, bukan sekadar beri bantuan saja. Tidak mengapalah, nanti saya suruh Zaini buat kajian, mana tahu kalau-kalau dia mahu.

      Delete
  3. Terima kasih Encik Mustafar kerana membalas komen saya dengan begitu spontan. Thumbs up ~ you're the best! Tidak banyak yang kita ketahui tentang penerbitan filem "Pengejaran Ka-Neraka" ini. Fakta di Google hanya menyebut beberapa nama para pelakon yang terlibat - kesemuanya Indonesia! Untuk menyimpang dari tajuk perbincangan ringkas ini, suatu perkara yang agak menarik tentang 2 gergasi studio filem Melayu di Singapura dulu ialah, tidak dapat dinafikan bahawa studio Shaws MFPlah yang jauh lebih gah, lebih unggul & dominant. Tetapi dalam banyak perkara, studio Cathay-Keris lebih mendahului Shaws. Contohnya:

    (1) menerbitkan filem Melayu berwarna yang pertama ("Buloh Perindu");

    (2) menerbitkan filem Melayu hitam-putih dalam cinemascope yang pertama ("Sumpah Pontianak");

    (3) mengadakan usaha sama yang pertama dengan pihak produser luar negara ("Bayangan Di-Waktu Fajar")

    (4) mengadakan usaha sama yang pertama dalam menerbitkan filem berwarna pertama dengan pihak produser luar negara ("Pengejaran Ka-Neraka");

    (5) yang pertama bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman untuk membuat filem sejarah ("Mahsuri");

    Mungkin ada beberapa genre filem atau aspek lain pihak Cathay-Keris mendahului yang tidak saya senaraikan di sini. Bolehlah Encik Mustafar / Puan Zaini / para pembaca yang lain menyumbangkan lebih banyak fakta, jika ada. Sekian ~

    - NONAMA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agak-agak Nonamalah, berapa ramaikah orang macam Sdra yang mengambil berat (prihatian) terhadap perkembangan sejarah filem Melayu. Yang ada kuasa, ada kemampuan pun tidak ambil peduli. Harapkan Seniman, mereka asyik-asyik rebut jawatan, itu saja yang mereka tahu. Dan ternyata, dalam penubuhan sinematek (arkib filem), Malaysia tinggal jauh terkebelakang berbanding negara-negara Asia lain.. Habis, apa mahu dikatakan lagi. P.Ramlee ada menyanyi, "Sungguh malangnya nasibku." Saya pula mengeluh, "Sungguh malangnya nasib filem Melayuku".

      Delete
    2. saya suka filem cathay-keris lagi sebab ramai pelakon kesukaan saya di situ macam latifah omar, nordin ahmad, roseyatimah, wahid satay, mat sentol mahmud june dan dollah sarawak.

      Delete
  4. Tambahan -

    (6) Cathay-Keris jugalah yang pertama sekali mengalihsuarakan filem asing ke bahasa Melayu. Ia adalah filem Filipina yang diberi jodol Melayu "Badjau Anak Laut".

    - NONAMA

    ReplyDelete
  5. Cukup terperanjat melihat watak S. Roomai Noor dalam filem ini. Dia begitu aggresif sekali menodai Suriani. Pernah dengar dia membawa watak antagonis di MFP tapi adakah betul ini adalah satu2 watak antagonisnya di Cathay-Keris ? Boleh tahu filem terakhirnya di Cathay_Keris sebagai pelakon dan krew filem (pengarah filem)?

    ReplyDelete
  6. Komen menarik dan bernas dari seorang penulis veteran yang berpengelaman luas . Buat masa ini saya nampak En. Mus saja yang berani dan punya idea untuk mengupas filem2 Melayu klasik. Harap lebih banyak komen seperti ini pada filem Melayu lain dan bukan bertumpu pada filem2 P. Ramlee saja.

    ed.LO-kfc

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.
      Banyak juga, selain filem P.Ramlee
      yang telah saya komen dan ulas.
      Antaranya "Hang Jebat", "Roh Membela",
      "Lain Jalan Ka-Shorga" dan "Mutiara Dari Malaya."
      Tidak tertumpu kepada filem P.Ramlee saja.

      Delete