"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Monday, September 26, 2011


LANCHANG KUNING (1962)


ISTERI BUNTING DIJADIKAN KORBAN
Teks: Mustafar A.R.
Foto: Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop






Latiffah Omar sebagai penari istana


Yusoff Latiff, Siti Tg. Perak dan Latiffah Omar


Yusoff Latiff, Noordin Ahmad dan Haji Arshad


Noordin Ahmad, Haji Arshad dan Rose Yatimah


Panglima Alang Yahya selamatkan Telani dari kemalangan di air



Haji Arshad dan Dollah Serawak






M. Babjan sebagai ketua lanun






Telani meronta-ronta sebelum menjadi korban Lanchang Kuning





Pertarungan hebat antara Panglima Alang Yahya dan Panglima Ali


Produksi CATHAY KERIS FILM
Pengarah Filem M. AMIN
Pelakon NOORDIN AHMAD (Panglima Alang Yahya) LATIFFAH OMAR (Telani) YUSOFF LATIFF (Baginda Sultan Siak) HAJI ARSHAD (Panglima Ali) ROSE YATIMAH (Teratai) SHARIFF MEDAN
(Datuk Bendahara), SITI TG. PERAK (Mak Inang) DOLLAH SERAWAK
(Tok Pawang) YEM JAFFAR (Datuk Temenggung) FATIMAH SHARIFF PUTEH LAWAK AHMAD NISFU M. BABJAN
Jurukamera TSIN MING CHIN
Penyunting Filem P.V. JOHN
Jurutera Bunyi V.G. BHASKARAN
Pengarah Seni Lukis J.S. ANTHONY
Cerita M. AMIN
Katabual SHARIFF MEDAN M. AMIN
Musik WANDY YAZID

Tahun diedarkan: 1962 (4 Oktober)
Masa tayangan: 118 minit


JALAN CERITA___

Telani, anak yatim piatu dari Bentan, datang ke Siak menumpang tinggal dengan Mak Inang dan menjadi penari istana. Baginda Sultan apabila melihatnya menyanyi dan menari terpikat dan berharap akan mengambilnya sebagai permaisuri Baginda.

Dalam pada itu, Telani juga menjadi minat Panglima Ali dan Panglima Alang Yahya. Begitupun juga, Panglima Alang Yahya lebih mendapat perhatian Telani apabila dia menyelamatkannya dari kemalangan di air.

Panglima Ali tahu Telani menyukai Panglima Alang Yahya, tetapi dia terus berusaha memikat hati Telani dengan berbagai cara termasuk menggunakan pertolongan Tok Pawang.

Dalam pada itu, Teratai (adik Panglima Ali) mencintai Panglima Alang Yahya dalam diam. Panglima Alang Yahya tidak tahu yang Teratai menyimpan hati terhadapnya.

Krisis mula timbul apabila Baginda Sultan menghadiahkan kalung emas kepada Telani sebagai tanda sukanya Baginda terhadap persembahan tarian Telani disamping cuba memikat hati supaya mahu menjadi isteri Baginda.

Pemberian tersebut membuatkan Panglima Alang Yahya merasakan dirinya terlalu kecil dan menyangka Telani hanya bermain kata-kata dan lebih mementingkan kehidupan mewah. Tetapi Telani menafikannya dengan berkata, "sekali kasih tetap bertakhta dalam lubuk jiwaku. Tentang hati bang, kasihku telah subur disegenap liku jantung hatiku.

Rasanya tiada tempat lagi untuk orang lain hanya untukmu, untukmu bang."
Biduk lalu kiambang bertaut, apabila Panglima Alang Yahya merasa kesal kerana kecurigaannya tehadap kesetiaan Telani dan menarik balek kata-kata kesat yang telah diluahkan kepada Telani.

Kerana masih tidak berputus asa, Panglima Ali terus berusaha. Dan kesempatan yang baik diperolehinya apabila Panglima Alang Yahya dan Telani sedang bermadu kasih.

Dengan bersaksikan Datuk Bendahara, Panglima Alang Yahya dan Telani di bawa mengadap Baginda Sultan atas tuduhan berlaku sumbang.

Bagaimanapun, apabila Telani menyatakan yang dia benar-benar kasihkan Panglima Alang Yahya, Baginda merasa kecewa tetapi memperkenankan supaya mereka berdua berkahwin.

Ini menambahkan lagi kebencian Panglima Ali terhadap Panglima Alang Yahya kerana lain yang dirancang lain pula yang jadi. Dia kecewa kerana Telani terlepas ke tangan Panglima Alang Yahya.

Teratai juga kecewa, tetapi kerana kasihnya kepada Panglima Alang Yahya, pemergiannya ke samping Telani direlakannya.

Dalam satu perbincangan di istana, Panglima Alang Yahya telah diperkenankan oleh Baginda Sultan supaya diutuskan ke Lingga (di bawah naungan kerajaan Siak) untuk mengutip ufti.

Terpaksalah Panglima Alang Yahya meninggalkan Telani yang pada ketika itu sedang sarat mengandung.

Sepeninggalan Panglima Alang Yahya, Panglima Ali mengambil kesempatan cuba menggoda dan berlaku curang terhadap Telani tetapi telah diselamatkan oleh Teratai.

Kerana takutkan Telani mengadu kepada Panglima Alang Yahya atas perbuatannya itu, Panglima Ali telah berpakat dengan ketua lanun supaya membunuh Panglima Alang Yahya apabila dia pulang nanti.

Disebabkan Baginda Sultan masih tidak berpermaisuri, Datuk Bendahara telah mengulang sekali lagi supaya peminangan Puteri Nilawati dilakukan dan telah dipersetuju oleh Baginda.

Panglima Ali telah dilantik sebagai utusan dan boleh pergi meminang menggunakan Lanchang Kuning yang masih menunggu untuk dilancarkan.

Dendam Panglima Ali masih membara, dengan ugutan dia telah menyuruh Tok Pawang memberitahu Baginda Sultan supaya pelancaran Lanchang Kuning memerlukan korban.

Apabila dipersembahkan kepada Baginda Sultan, Baginda bersetuju tetapi Panglima Ali dan Tok Pawang tidak pula memberitahu bentuk korban yang bakal dilaksanakan.

Atas persetujuan Baginda Sultan itu, Panglima Ali pun menggunakan kesempatan tersebut menangkap Telani dan menjadikannya sebagai korban Lanchang Kuning.


ULASAN FK___

Saya menonton filem ini ketika awal penayangannya pada penghujung tahun 1962 ketika berusia 19 tahun. Kalau tidak silap saya di panggung wayang Odeon, Kuala Lumpur.

Saya tidak berapa seronok dengan filem ini kerana ia melibatkan penganyayaan (korban) perempuan bunting sulung yang saya anggap sadistic dan tidak sepatutnya berlaku dan dijadikan filem.

Apa yang saya suka tentang filem ini (sehingga kini) hanyalah lagu "Rintihan Kamaruzzaman" yang dinyanyikan oleh R. Ismail dan Siti Mariam.

Bagaimanapun, keadaan berubah. Dari masa ke masa saya menilai dan terus menilainya yang mana kesudahannya saya beranggapan ia merupakan salah satu filem yang terbaik diarahkan oleh M. Amin.

Kekuatan filem ini, bukan saja terletak kepada cerita tetapi juga fotografi (Tsin Ming Chin), suntingan filem (P.V. John) dan lagu-lagu (Wandy Yazid).

Katabual (dialog) juga berkesan disamping lakonan oleh Noordin Ahmad, Latiffah Omar, Yusoff Latiff dan Haji Arshad.

Kesemua elemen filem yang terdapat dalam filem ini dihasilkan dengan cukup sempurna.

Sungguhpun ini filem arahannya yang pertama, namun M. Amin telah memperlihatkan kemampuan seolah-olah dia sudah mengarahkan banyak filem.

Filem ini merupakan satu antara dua melibatkan perempuan bunting sulung. Pada tahun 1961, K.M. Basker mengarahkan filem "Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang" dengan Maria Menado sebagai korban.

Dalam filem tersebut, Sultan (M. Amin) terlibat terus dengan kematian Maria Menado kerana memakan seulas nangka (kerana mengidam) milik Baginda.

Tetapi dalam filem ini Sultan (Yusoff Latiff) tidak tahu menahu siapa yang akan menjadi korban Lanchang Kuning.

Kematian Latiffah Omar (menjadi korban pelancaran Lancang Kuning) sengaja diada-adakan oleh Haji Arshad sebab dendamnya terhadap Latiffah Omar kerana cintanya tidak berbalas.

Agak menarik, filem ini pada keseluruhannya bertradisikan Melayu. Tidak ada langsung pengaruh filem Hindustan yang selama ini menjadi trend filem-filem Melayu.

Filem ini mengikut langkah "Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang", "Hang Jebat", "Dang Anom" (Hussain Haniff) dan "Tun Fatimah" (Salleh Ghani).

Sungguhpun filem ini mengandungi kekuatan dari segi cerita, namun ia sudah seringkali dijadi filem - kisah kezaliman seorang Sultan.

Kalau tidak Sultan sendiri yang zalim Sultan menjadi zalim kerana orang-orang sekelilingnya mengambil sempatan kerana inginkan sesuatu atau mahu membalas dendam.

Dari segi lakonan, Noordin Ahmad sebagai Panglima Alang Yahya sudah tidak boleh dipertikaikan lagi kerana sesuai dengan peranannya. Latiffah Omar sebagai Telani pun demikian juga.

Rose Yatimah sebagai Teratai sederhana saja, begitu juga lakonan Yusoff Latiff, Siti Tg. Perak, Dollah Serawak, Shariff Medan dan Yem Jaffar.

Agak memeranjatkan lakonan Haji Arshad sebagai Panglima Ali. Sungguhpun pertama kali, kemampuannya berperanan jahat diperlihatkannya dengan begitu baik sekali.

Hanya sedikit kecacatan, sebagai panglima dia kelihatan terlalu muda dan ada kalanya ketawanya tidak natural dan terasa semacam dibuat-buat.

Selain itu, dialog kata-kata berangkai (puisi dan pantun) yang disusun bersama oleh M. Amin dan Shariff Medan dan ditutur dengan baik oleh semua pelakon membuatkan satu lagi kekuatan filem ini.

Lirik lagu "Rintihan Kamaruzzaman", "Patah Hati" ("Apa Dirajuk") dan "Sri Tambak" penuh bererti dan bermakna membuatkan filem ini pun penuh bererti dan bermakna.

Musik dan lagu disusun semula oleh Wandy Yazid dari lagu-lagu Melayu asli lama yang sudah popular. Susunan musik (latar belakang dan lagu) menambahkuatkan lagi filem ini.

Pada keseluruhannya (pada saya), filem arahan M. Amin ini menarik dan memuaskan.


LAGU-LAGU___

* Tarian Bentan Telani (Siti Mariam)

* Sri Tambak (Siti Mariam & R. Ismail)

* Rintihan Kamaruzzaman (Siti Mariam & R. Ismail)

* Patah Hati (Kamariah Ahmad)

* Olek Raja (Siti Mariam)


KELUHAN M. AMIN___

M. Amin menganggap filem "Lanchang Kuning" sebagai lambang kegemilangannya sepanjang pembabitan dalam dunia filem Malaysia.

Menurutnya, filem tersebut merupakan filem pertama arahannya selepas mendapat kepercayaan Tom Hodges yang menguasai Cathay Keris Film ketika itu.

Bagaimanapun, M. Amin menegaskan, disebalik kegemilangan itu dia melalui liku-liku yang sangat mengecewakan apabila bangsanya sendiri tidak yakin dengan keupayaannya sebagai pengarah filem.

Apabila tawaran sebagai pengarah filem sudah diterima, M. Amin mengemukakan dua cerita - "Lanun Si Bongkok" dan "Lanchang Kuning".

"Kedua-dua cerita itu diluluskan tetapi saya memulakan dengan Lanchang Kuning," katanya.

M. Amin seterusnya memberitahu, disebabkan "Lanchang Kuning" filem arahannya yang pertama ramai pelakon terkenal pada masa itu menolak tawarannya untuk berlakon dalam filem tersebut.

"Peranan jahat iaitu Panglima Ali pada mulanya ditawarkan kepada Mahmud June tetapi dia menolak atas alasan sibuk. Tetapi saya tahu dia tidak mahu berlakon kerana tidak yakin dengan kebolehan saya."

M. Amin menambah, "pelakon lain mahu berlakon kerana mereka mempunyai hubungan baik dengan saya. Noordin Ahmad adalah anak angkat saya manakala Latiffah Omar pula saya anggap sebagai anak angkat juga kerana ibunya selalu meminta saya menjaganya disebabkan dia sibuk bekerja di studio."

Bukan itu saja, selepas selesai penggambaran (memakan masa 49 hari) dia menghadapi masaalah lagi apabila tiada penyunting filem anak Melayu mahu menyuntingnya.

"Kata mereka," M. Amin menerangkan, "filem tersebut susah untuk di sunting." Dengan itu dia pun meminta bantuan P.V. John. Bersamanya M. Amin melakukan suntingan di sebelah malam.

Apabila ditayangkan, "Lanchang Kuning" mencatat kejayaan box office mengatasi kutipan semua filem yang ditayangkan sebelum itu.

"Di Kuala Lumpur saja, tayangannya hampir dua bulan. Saya masih simpan sijil pengesahan itu," ujar M. Amin.


M. AMIN TERIMA PUJIAN___

Kerana dua filem arahannya - "Lanchang Kuning" dan "Chuchu Datok Merah" - M. Amin telah menerima surat pujian Tom Hodges, penguasa Cathay Keris Film.

Mengenai perkara tersebut, dalam ulasannya (lidah pengarang majalah Arena Filem) keluaran 17 Mac 1963 tercatat,

Pengarah M. Amin telah mendapat penghormatan dari studio Cathay Keris kerana kejayaan mengarahkan filem "Lanchang Kuning" dan "Chuchu Datok Merah". Tom Hodges pengeluar filem Cathay Keris dengan terus terang mengakui bahawa penghormatan ini diberikan kepada M. Amin ialah kerana kedua-dua filem arahannya telah memecah rekod penjualan tiket dan memberikannya kejayaan gemilang kepada studio Cathay Keris.

Penghormatan yang diberikan oleh studio ini merupakan satu galakan kepada pengarah-pengarahnya untuk mereka lebih giat lagi memenuhi tugas-tugasnya mengikut kemahuan dan selera para penonton disamping menjadi alat memperkembangkan seni budaya bangsa.

Hendaknya pengarah-pengarah Melayu di studio-studio tempatan umumnya dapatlah benar-benar memberikan bimbingan kepada masyarakat melalui saluran-saluran perfilemannya sedapat dan secepat mungkin. Bawalah masyarakat ke dunia nyata bukan dunia pura-pura dan dunia khayalan sebagaimana dialami oleh kita sekarang ini.

Penghormatan diberikan kepada seorang yang berjaya memang sudahlah kena tempatnya. Harapan kita semoga kejayaan tersebut tidak hanya sampai setakat itu saja lebih jelas lagi khususnya kepada pengarah muda M. Amin tidak merasa puas dengan kejayaan ini. Malahan akan terus memaju dan meningkatkan lagi mutu perfileman bangsa Melayu.

Kepada M. Amin kita juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan ini. Mudah-mudahan filem-filem arahannya yang akan datang lebih baik dan sebenar-benar dapat dijadikan cermin perbandingan disamping menjadi alat penghiburan.



M. AMIN TERIMA SEBILAH KERIS___

Pada penghujung tahun 1971, untuk menghargai filem arahannya yang ke-30 (Semusim Di Neraka") Cathay Keris Film telah menganugerahkan kepada M. Amin sebilah keris.

Agak menarik, keris tersebut pernah digunakan dalam penggambaran filem "Lanchang Kuning" yang merupakan filem pertama yang diarahkannya.

Menurut M. Amin, filem "Semusim Di Neraka" bukan saja filem drama yang menyayat hati tetapi juga filem pertarungan hebat di mana kesaktian dan pencak silat pendekar mengambil peranan penting.















MARI KITA MENYANYI LAGU "RINTIHAN KAMARUZZAMAN"



(sumber: diambangsore)

"RINTIHAN KAMARUZZAMAN"

Sunyi sepi
Tiada bermaya
Alam nan indah
Tiada ertinya

Tiada ku duga
Fitnah mendatang
Kasih yang suci
Putus terhalang

Wahai awan
Bergulung putih
Bawa lah pesan
Penyambung kasih

Angin bayu
Bertiup lalu
Sampaikan lah
Rintihan kalbu

Angin bayu
Bertiup lalu
Sampaikan lah
Rintihan kalbu


Penyanyi R. ISMAIL & SITI MARIAM
Lagu WANDY YAZID















(sumber: asp504)


FAKTA____

* Filem pertama yang diarahkan oleh M. Amin.

* M. Amin merupakan anak Melayu ke-4 dilantik sebagai pengarah filem di Cathay Keris selepas S. Roomai Noor, Hussain Haniff dan Salleh Ghani.

* Filem pertama Haji Arshad memegang peranan jahat.

* Noordin Ahmad turut berlakon dalam filem "Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang".

* Selain filem ini, dua lagi dibuat penggambaran serentak ialah "Mata Shaitan" (Hussain Haniff) dan "Badang" (S. Roomai Noor).

* Nama Ahmad Nisfu dan M. Babjan sebagai pelakon tidak tercatat di credit title.

* "Lanun Si Bongkok" menjadi filem arahan M. Amin yang pertama di Merdeka Studio tetapi tajuknya ditukar kepada "Penyamun Si Bongkok."

* Selepas filem ini, M. Amin mengarahkan pula filem keduanya "Chuchu Datok Merah" yang dibintangi juga Noordin Ahmad dan Latiffah Omar.

* Pertama kali Noordin Ahmad berlakon bersama Latiffah Omar dalam filem "Panggilan Pulau" (studio MFP) yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

* Filem pertama lakonan Noordin Ahmad dan Latiffah Omar di Cathay Keris Film, "Serangan Orang Minyak" yang diarahkan oleh L.Krishnan.

* Di studio MFP, dua filem Latiffah Omar dan Yusoff Latiff sebagai heroine dan hero - "Bernoda" (S.Ramanathan) dan "Menyerah" (K.M.Basker).



1 comment:

  1. Salam...
    Pada pandangan saya apa yang membuatkan filem lanchang kuning menjadi luar biasa ialah keberaniannya untuk lari dari cliche filem-filem Melayu ketika itu.
    a)Pada saat raja-raja dan bangsawan Melayu digambarkan sebagai jahat serta kejam (contohnya filem Antara Dua darjat, Sultan Mahmud mangkat Dijulang dan Dang Anom), watak Sultan filem ini digambarkan sebagai raja yang banyak berfikir dengan rasional sebelum bertindak. Ketika Nordin Ahmad dan Latifah Omar ditangkap kerana berkhalwat, baginda (yang mencintai Latifah Omar secara diam-diam) tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman, sebaliknya memerintahkan mereka berkahwin.
    b)Penggunaan ilmu hitam selalunya membawa kesan dalam filem-filem Melayu (contohnya filem chuchu datok merah dan filem P. Ramlee, gerimis.Tapi di dalam filem ini usaha haji arshad untuk mencuri pakaian dalam Latifah Omar menemui kegagalan dan usaha untuk menundukkannya menggunakan ilmu bomoh tidak kesampaian.
    c) Watak orang ketiga sering muncul untuk membawa fitnah bagi merosakkan rumah tangga hero dan heroin filem. Dalam filem ini Roseyatimah walaupun mencintai Nordin Ahmad masih boleh menerima kehadiran Latifah Omar. Dalam satu adegan, Roseyatimah mendengar Haji Arshad memujuk Latifah Omar untuk berkelakuan sumbang. Dalam filem Melayu tipikal, pastilah peluang itu digunakan untuk menyebarkan fitnah tentang kecurangan heroin. Namun Roseyatimah mendengar perbualan itu sehingga selesai sehingga mendapat tahu Latifah Omar sanggup menggadai nyawa untuk mempertahankan maruah. Roseyatimah kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk menentang Haji Arshad abangnya sendiri.

    ReplyDelete